Sunday, 13 May 2012

Apa Khabar Sultan Ismail Petra?




Ramai yang bertanya bagaimanakah keadaan kesihatan Sultan Ismal Petra ketika ini. Adakah baginda makin pulih atau kesihatan baginda masih macam dulu juga?

Oleh kerana tiada lagi berita mengenai baginda yang tersiar di dada-dada media, ramai sebenarnya yang bertanya dan ingin tahu kedudukan sebenar kesihatan baginda ketika ini.

Lama juga Sultanik memikir-mikir tentang hal itu. Baru-baru ini Sultanik berkesempatan bertemu dan berbual dengan orang yang bertanggungjawab menjaga kesihatan Sultan Ismail Petra.



Sambil ditunjukkan gambar-gambar terbaru mengenai aktiviti harian yang dijalani oleh baginda, Sultanik diberitahu bahawa kesihatan baginda kini berada dalam keadaan yang cukup memuaskan. Kesihatan baginda menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sekali.

Walaupun pergerakan baginda masih terhad dan memerlukan bantuan tetapi dari segi pemikiran, ingatan dan keupayaan berkomunikasi, jelas sudah pulih. Baginda bukan sahaja sentiasa menerima tetamu tetapi juga menjadikan kemestian mengikuti siaran berita Nightline TV3 jam 12.00 malam setiap hari sebelum masuk beradu.

Sultan Ismail Petra dilaporkan mempunyai semangat yang amat tinggi. Baginda biasanya bangun tidur sekitar jam 6.00 atau 6.15 pagi dan kemudian terus menunaikan solat Subuh, sebelum bersarapan pagi dan kemudian meluangkan masa mengambil angin pagi segar yang berhembus nyaman melalui tingkap yang sengaja dibuka.



Baginda kemudiannya beradu semula dan sebaik terjaga, baginda terus menjalani latihan fisioterapi yang sudah ditetapkan. Jadual fisioterapi baginda berjalan setiap hari tanpa rehat.

Baginda tidak pernah mengeluh atau mengadu penat menjalani latihan fisioterapi yang dilalui setiap hari. Baginda tidak saja menjalani latihan  fisioterapi untuk menguatkan anggota tubuh tetapi juga menjalani latihan pertuturan yang  sedikit terjejas akibat serangan angin ahmar tidak lama dahulu.

Selain menjalani latihan fisioterapi setiap hari, pagi dan petang, baginda juga akan diperiksa kesihatan secara menyeluruh oleh pasukan doktor pakar setiap seminggu sekali. Ini bagi memastikan kesihatan baginda sentiasa dalam keadaan yang terjaga dan dipantau sentiasa.

Di waktu petang pula, baginda biasanya akan dibawa berjalan-jalan mengelilingi persekitaran istana. Di waktu malam pula iaitu selepas maghrib, masa baginda dipenuhi dengan menghadiri kelas pengajian agama sehinggalah ke waktu isyak, sebelum menikmati jamuan makan malam dan berehat bersama keluarga selepas itu. Baginda hanya akan tidur selepas menonton siaran Nightline TV3 jam 12.00 malam.



Dalam masa yang sama, baginda juga mengikuti perkembangan semasa dalam negara dan dunia dengan turut membaca akhbar-akhbar dan majalah.

Dengan menjalani semua disiplin latihan ini dan juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui akhbar dan tv, bukan saja tahap kesihatan fizikal menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan tetapi juga  dapat memastikan tahap pemikiran baginda sentiasa baik dan terpelihara.

Dengan itu, baginda kini sering menerima tetamu dari dalam dan luar negara. Baginda kelihatannya amat gembira dapat berbual-bual sambil senyum dan ketawa dengan tetamu-tetamu yang begitu mengambil berat tentang kesihatan baginda itu

Selain menjalani latihan fisioterapi, baginda gemar menghabiskan masa mengayuh basikal untuk menguatkan otot-otot kaki. Berkat kegigihan menjalani latihan serta memiliki semangat yang tinggi untuk pulih seperti sediakala, baginda kini bukan saja kelihatan lebih ceria dan gembira tetapi juga sudah boleh berdiri tanpa bantuan selama hampir 10 minit pada satu-satu masa.

Sultanik sendiri amat gembira mendengar perkhabaran ini sambil menatap gambar-gambar baginda yang kelihatan semakin pulih dan ceria. Sama-samalah kita mendoakan baginda terus pulih dan sihat seperti sediakala. Amin.


No comments:

Post a Comment