Minggu-minggu kebelakangan ini, isu hubungan Raja dengan rakyat kembali menjadi perbualan di mana-mana dan diperkatakan oleh ramai orang. Di laman sosial facebook, twitter serta blog pula bermacam-macam komen dan pandangan dapat dibaca mengenai perkara yang sama.
Isu ini bermula dengan komen bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang dilihat seolah-olah mempertikaikan kewajaran Sultan Johor membida nombor plat WWW 1 dengan harga RM520,000.
Kemudian dari itu, pelbagai komen pro dan kontra diluahkan oleh pelbagai pihak, termasuk kemurkaan Sultan Johor sendiri terhadap pihak yang mempertikaikan tindakan baginda itu sebagaimana yang dititahkan sempena perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Johor, baru-baru ini.
Meskipun pelbagai perkara dapat dibaca dan didedahkan mengenai isu Raja dan rakyat ini, hakikatnya rakyat dari semua kelompok, lapisan, latar belakang dan warna kulit tetap menerima kedudukan Raja-Raja sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Sultanik tidak bermaksud tidak baik tetapi sekadar mengingatkan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa agar menangani isu-isu yang berlaku antara Raja dan rakyat ini dengan cermat, adil dan tidak memilih bulu.
Tidak ada siapa mempertikaikan tindakan yang mahu diambil terhadap Datuk Seri Nizar atas keterlanjurannya itu tetapi harus juga diambil kira permohonan ampun yang telah dibuatnya selepas itu. Dalam hal ini, beliau seolah-olah mengakui keterlanjurannya, menyesal dan mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat ketika mahu membuat komen sebelum itu.
Begitu juga, tidak ada yang mempertikaikan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa keatas seorang jurutera yang didapati bersalah menghina Sultan Perak dan sudah pun dijatuhi hukuman.
Tetapi apa yang rakyat mahukan ialah agar pihak berkuasa terutamanya Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri haruslah benar-benar jujur dan adil dalam mengambil tindakan.
Ketika berlaku krisis dalam Istana Kelantan beberapa tahun lalu, pelbagai komen dan perbuatan yang boleh dianggap menderhaka kepada Tuanku Sultan Ismail Petra telah dapat dibaca dan dtonton oleh rakyat negara ini sama ada melalui akhbar,televisyen, blog dan sebagainya.
Malangnya, sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan diambil meskipun sesetengah komen oleh pihak tertentu terhadap Tuanku Sultan Ismail Petra didapati amat tidak wajar dan jauh lebih teruk daripada komen yang dilakukan oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Dalam tindakan pihak polis UTK mengepung kenderaan Tuanku Sultan Ismail Petra misalnya, sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil meskipun pelbagai laporan telah dibuat mengenainya.
Sultanik tidak mahulah jika pihak berkuasa tidak tegas dan memilih bulu dalam bertindak, ia lama-kelamaan akan meletakkan hubungan Raja dengan rakyat akan terjejas dan akhirnya merugikan banyak pihak terutamanya kedudukan orang-orang Melayu sen.
Lebih malang lagi, kiranya pihak berkuasa turut dipersalahkan sama atas berlakunya perkara itu.
Dalam hal ini Perdana Menteri mestilah menunjukkan ketegasannya serta mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara agar bertindak dengan adil dalam semua kes yang melibatkan Raja dengan rakyat.
Sultanik percaya, jika tindakan yang tegas dan tidak berpilih-pilih dapat diambil terhadap sesiapa saja yang didapati menderhaka dan menghina Raja-Raja, tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya dan tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hubungan Raja dengan rakyat meski apa badai dan gelora sekalipun yang melanda.
Ini sekaligus akan memantapkan lagi hakikat bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada. (9.57 pagi 22/06/2012)
No comments:
Post a Comment