Sejak kebelakangan ini beberapa isu berkaitan penderhakaan kepada institusi Diraja timbul kembali. Seorang jurutera, Chan Hon Keong dijatuhi hukuman setahun penjara dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth setelah didapati bersalah menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Beliau didapati melakukan kesalahan itu dengan membuat komen yang berunsur lucah dan menghina institusi Diraja Perak melalui ruang siber.
Dalam masa yang sama, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga khabarnya akan disoal siasat oleh polis Rabu ini berhubung komennya dalam Twitter yang mempertikaikan kejayaan Sultan Johor memenangi bidaan keatas nombor pendaftaran WWW 1 yang bernilai RM520,000.
Dengan tindakan pantas pihak polis mahu membuka kertas siasatan dan menyoal siasat Datuk Seri Nizar itu membayangkan bahawa sesuatu tindakan juga bakal diambil atas kesalahan menghina dan menderhaka kepada Sultan Johor.
Rakyat pelbagai peringkat juga nampaknya gembira dengan ketegasan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perkara itu.
Sultanik memang mengalu-alukan kedua-dua keputusan itu kerana ia melambangkan ketegasan terhadap perbuatan yang boleh dianggap menghina dan menderhaka kepada institusi Diraja. Kita tidak mahu jika tindakan tidak segera diambil, dibimbangi akan berlaku penghinaan dan penderhakaan yang lebih besar lagi di masa-masa hadapan kepada institusi Diraja ini.
Sebelum berlaku sesuatu perkara yang lebih besar, maka ia haruslah dicegah di peringkat awal lagi.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Raja Berperlembagaan di tempatnya yang sendiri dan disanjung sebagai lambang keharmonian dan kedaulatan, tidak ada sesiapa pun yang bersetuju berlakunya penghinaan serta penderhakaan kepada Raja yang sedang bertakhta.
Tetapi sementara kita menyanjung keputusan mahkamah dan tindakan segera pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menghina institusi Diraja, Sultanik ingin mengimbas kepada beberapa peristiwa yang berlaku terhadap Tuanku Sultan IsmIl Petra, kira-kira dua tahun lau.
Ketika itu, Tuanku Sultan Ismail Petra bersama rombongan yang dalam perjalanan keluar dari istana menuju ke lapangan terbang bagi mendapatkan rawatan susulan di Singapura telah diserbu oleh sepasukan polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertopeng dan bersenjata bagi menghalang perjalanan tersebut.
Rombongan Diraja termasuk Tuanku Sultan Ismail Petra yang sedang uzur kemudiannya ditahan untuk beberapa jam dan akhirnya tidak dibenarkan meneruskan perjalanan bagi mendapatkan rawatan kesihatan di Singapura. Tuanku Sultan Ismail Petra hanya dibenarkan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kubang Kerian kemudiannya.
Bersama rombongan Diraja ketika itu termasuklah Raja Perempuan Kelantan dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra masih merupakan Sultan Kelantan. Tidakkah tindakan polis itu boleh dianggap menghina dan menderhaka kepada institusi Diraja juga?
Sultanik tidaklah bermaksud untuk menimbulkan polemik baru dalam hal ini tetapi sekadar mengharapkan keadilan yang mahu ditegakkan oleh pihak berkuasa biarlah menyeluruh dan tidak berpilih-pilih.
Meskipun Sultanik difahamkan ada laporan polis dibuat terhadap kejadian yang menimpa Tuanku Sultan Ismail Perta itu tetapi sehingga ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.
Sultanik mungkin tidak pandai bab undang-undang tetapi pusing juga kepala memikirkan jika ada yang menganggap kesalahan membuat komen di ruang siber dan Twitter itu lebih berat kesalahannya berbanding menyerbu dan mengepung rombongan Tuanku Sultan Ismail Petra oleh polis yang lengkap bersenjata?
Sekali lagi, apa yang Sultanik harapkan ialah keadilan yang menyeluruh dan tidak berpilih-pilih. Sultanik percaya rakyat juga akan gembira jika keadilan dapat ditegakkan dalam hal ini, sebagaimana tindakan yang diambil terhadap kes-kes menghina serta menderhaka kepada institusi Diraja sebelum ini.
No comments:
Post a Comment