Saturday, 2 June 2012

Polis Oh Polis

Sejak perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 diadakan yang asasnya adalah untuk menuntut perjalanan pilihanraya yang adil dan bersih, turut menjadi perbualan rakyat ialah beberapa tindakan pihak polis yang dianggap keterlaluan serta tidak berperikemanusiaan dalam menangani sesuatu kejadian itu.

Ia bukan saja memperlihatkan bagaimana polis menembak gas pemedih mata dan menyembur air bagi menghalang kemaraan rakyat, bahkan terdapat juga insiden bagaimana pihak polis memukul, menendang serta mencederakan mereka yang dapat ditangkap secara yang tidak wajar.

Dalam beberapa video yang mudah dapat ditonton melalui Youtube, jelas dapat dilihat bagaimana polis yang seramai lebih lima orang telah memukul dan membelasah beberapa peserta perhimpunan dengan mengggunakan tangan, cota dan seolah-olah tanpa pertimbangan.

Termasuk menjadi sasaran pihak polis juga ialah wartawan yang turut mengadu dipukul oleh polis dan kemudiannya terlantar beberapa hari di hospital.

Sementara kejadian itu berleluasa dapat disaksikan oleh sebahagian besar rakyat yang mempunyai akses internet, pihak polis tidak pula tampil memohon maaf atau berjanji tidak mengulangi kejadian yang sama, sebaliknya hanya berdiam diri atau beberapa pihak tertinggi polis kemudiannya memberikan hujah-hujah pembelaan bagi mewajarkan semua tindakan itu.

Tetapi hakikatnya, dalam semua kejadian itu persepsi rakyat terhadap polis menjadi amat buruk sekali. Sementara diakui terdapat ramai anggota polis yang berhemah tinggi, mematuhi undang-undang dan menjalankan tugas pengorbanan yang sentiasa dikenang oleh rakyat seperti menjaga keselamatan awam dan keselesaan lalu lintas, tetapi perbuatan segelintir anggota dalam polis yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang itu ibarat "nila setitik, rosak susu sebelanga" jadinya.

Jika diimbas beberapa kejadian sebelum itu, sebenarnya terdapat juga beberapa insiden yang turut memberi kesan terhadap imej polis di mata rakyat tetapi yang paling ketara ialah dalam beberapa insiden ketika pergolakan dalam Istana Kelantan, lebih dua tahun lalu.

Sultanik tidaklah bertujuan apa-apa bila membangkitkan atau membandingkan perkara ini tetapi sekadar untuk renungan bersama bahawa bukan saja rakyat yang mengalami ketidakselesaan dan kekerasan daripada pihak polis, malahan ia juga turut berlaku kepada golongan Diraja yang pada hakikatnya merupakan payung kepada sebuah kerajaan dan rakyat di negara ini.

Pernah berlaku kejadian bagaimana kenderaan yang membawa Tuanku Sultan Ismail Petra untuk keluar dari istana telah dihalang dan dikepung oleh pasukan polis dan UTK yang lengkap bersenjata seolah-olah menyerbu sebuah kumpulan orang jahat yang juga bersenjata.  Ketika itu rombongan Diraja itu dalam perjalanan untuk membawa Tuanku Sultan Ismail Petra menerima rawatan kesihatan di Singapura.

Beberapa anggota rombongan Diraja termasuk Raja Perempuan Kelantan juga ditahan dan dikawal oleh polis seolah-olah mereka bukan keluarga diraja yang sedang bertakhta dan hanya dilepaskan beberapa jam kemudian. Tuanku Sultan Ismail Petra kemudiannya hanya dibenarkan menerima rawatan di Hospital Kubang Kerian sahaja.


Dalam kejadian yang lain, Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra juga menerima keadaan yang hampir sama. Selain beliau turut ditahan bersama rombongan Diraja ketika dalam perjalanan membawa Tuanku Sultan Ismail Petra mahu menerima rawatan itu, beliau juga pernah ditahan di Istana Mahkota, Kubang Kerian ketika mahu menghantar kereta Bently Brooklands kepada ayahandanya, Tuanku Sultan Ismail Petra yang ketika itu sedang dirawat di Singapura.

Oleh kerana merasakan penahanannya itu dilakukan secara tidak sah, tanpa sebarang alasan dan berniat jahat termasuk menggunakan senjata untuk menakut-nakutkannya, Tengku Fakhry telah mengemukakan saman terhadap PDRM sebanyak RM150 juta bagi menuntut keadilan, menyekat hak asasinya, memberikan tekanan mental serta memalukannya.

Saman ini masih dalam pengurusan kes sebelum ditentukan tarikh perbicaraannya. Pihak yang disaman oleh Tengku Fakhry ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Supritendan Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan ketika itu,  Datuk Abdul Rahim Hanafi dan  PDRM.

Beberapa kejadian ini, sama ada yang berlaku kepada rakyat biasa sehinggalah kepada keluarga Diraja, pada Sultanik amatlah memalukan dan tidak wajar bagi sebuah negara membangun dan beretika seperti Malaysia ini.

Setidak-tidaknya penambahbaikan dan profesionalisme pihak polis haruslah diangkat ke tahap yang lebih tinggi supaya imej polis sentiasa cantik dan dipandang baik oleh semua kelompok masyarakat. (12.12 pm 02/06/2012).



No comments:

Post a Comment