Wednesday, 13 June 2012
Benarkah UMNO Pembela Raja-Raja?
Apabila timbul isu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang didakwa mempertikaikan Sultan Johor berhubung nombor plat kenderaan WWW 1, UMNO nampaknya begitu lantang bersuara mempertahankan kedudukan Raja-Raja dari sebarang unsur penghinaan dan penderhakaan sambil mengecam tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Pas itu.
Pemuda UMNO Johor yang bernaung dibawah NGO Majlis Penyelaras Gabungan Bukan Kerajaan Negeri Johor (Gabung) kemudiannya telah menganjurkan perhimpunan di Istana Pasir Pelangi, kediaman rasmi Sultan Johor bagi menyatakan sokongan terhadap baginda.
Perhimpunan itu didakwa berjaya mengumpulkan seramai kira-kira 30 ribu rakyat Johor daripada pelbagai kaum dan lapisan.
Dalam masa yang sama, suara-suara sokongan dan pembelaan pemimpin UMNO terhadap kedudukan dan sebarang unsur penghinaan terhadap institusi Raja terus lantang kedengaran dan bergema di sana-sini. Lantas UMNO dilihat sebagai pembela Raja-Raja paling berwibawa.
Soalnya, benarkah UMNO pembela Raja-Raja yang konsisten?
Sultanik tidaklah bermaksud prejudis terhdap UMNO dan para pemimpinnya tetapi sekadar ingin mengimbas beberapa peristiwa yang pernah berlaku beberapa tahun lalu terhadap Raja-Raja untuk renungan kita bersama.
Ketika UMNO mahu meminda pelembagaan yang bertujuan menghapuskan kekebalan Raja-Raja pada 1993, jika kita masih ingat, ketika itu serangan terhadap perkara-perkara peribadi berkaitan Raja-Raja dilakukan begitu hebat dan melampau sekali.
Pelbagai perkara telah didedahkan kepada umum termasuk pemilikan harta, kekayaan, perbelanjaan, dakwaan pembaziran, campurtangan dalam pentadbiran kerajaan dan lain-lain hal yang bersifat amat sulit untuk diketahui rakyat dengan tujuan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap Raja-Raja dan seterusnya menyokong pindaan perlembagaan itu.
Selain itu, UMNO juga mengadakan roadshow ke merata tempat untuk menyerang dan menghentam Raja-Raja dan kemudian disiarkan pula melalui akhbar serta televisyen sedangkan Raja-Raja langsung tidak berpeluang mempertahankan diri atau membalas serangan yang dilakukan itu.
Sebagai sebuah negara yang mengiktiraf kedudukan Raja-Raja, apakah tindakan UMNO ketika itu dianggap membela Raja-Raja?
Dan baru-baru ini didedahkan oleh seorang kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan, bagaimana ketika proses mahu meminda perlembagaan itu, Tuanku Jaafar yang ketika itu menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Yang Dipertuan Agong, turut menerima ugutan daripada seorang menteri UMNO yang mahu mengheret Raja-Raja ke jalanraya dan mencampakkan ke dalam kawah jika tidak mahu menandatangai persetujuan pindaan tersebut.
Sekali lagi, soalan dari Sultanik, apakah tindakan yang tidak menghormati Raja-Raja dan biadap itu menandakan UMNO dan pemimpinnya sepanjang masa membela Raja-Raja?
Dan baru tidak sampai tiga tahun yang lalu, UMNO sekali lagi dianggap melakukan tindakan yang tidak menghormati institusi Diraja apabila tidak bertindak apa-apa terhadap perbuatan anggota UTK yang menyerbu kenderaan Tuanku Sultan Ismail Petra ketika baginda dalam perjalanan untuk keluar dari Istana Mahkota bagi mendapatkan rawatan perubatan di Singapura.
Memandangkan ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra masih merupakan Raja yang berdaulat, sudah tentu tindakan anggota UTK itu juga merupakan perbuatan yang menghina dan derhaka kepada Raja.
Tetapi apa tindakan UMNO ketika itu?
Sultanik juga ingin bertanya lagi, apakah tindakan itu membuktikan UMNO benar-benar pembela kepada institusi Raja di negara ini?
Bagi Sultanik, memanglah perbuatan Datuk Seri Nizar mempertikaikan pembelian plat kenderaan oleh Sultan Johor itu sesuatu yang tidak wajar tetapi ini tidaklah bermakna apa yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Perak itu lebih besar kesalahannya daripada apa yang dilakukan oleh UMNO kepada Raja-Raja pada tahun 1993 atau ketika UTK mengepung Tuanku Sultan Ismail Petra itu.
Jika diimbas apa yang telah dilakukan oleh UMNO dan dapat dibaca kembali keratan-keratan akhbar atau video ucapan bagaimana cabulnya mulut pemimpin UMNO menghentam Raja-Raja pada 1993 itu, sebenarnya dengan sendirinya kedudukan UMNO sebagai pembela Raja-Raja sudah lama terbatal. Sejarah telah membuktikan hakikat ini. (9.07am 12/06/2012)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment