Saturday, 7 July 2012

Kenapa Polis Dibawah Kendalian Hishammuddin Tidak Diyakini Rakyat?


Sejak kebelakangan ini, isu ketidakyakinan rakyat terhadap institusi polis begitu banyak sekali diperkatakan. Meskipun peranan polis dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat dan pengorbanan mereka berhujan dan berpanas tidak boleh dinafikan tetapi dalam hal-hal tertentu, pihak polis juga kadangkala terdedah kepada pertikaian, malah kadangkala kebencian di kalangan rakyat.

Dalam isu yang melibatkan politik misalnya, peranan pihak polis seringkali dipertikaikan dan polis sering dikecam kerana dikatakan terlalu memihak kepada parti yang sedang berkuasa. Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0, polis nampaknya begitu teruk menjadi kecaman masyarakat melalui pelbagai aksi yang dianggap keterlaluan ditunjukkan oleh mereka meskipun dalam ertikata mahu menangani keganasan serta rusuhan.

Melalui pelbagai paparan video yang tersebar secara meluas melalui internet, tidak dapat dinafikan bahawa pihak polis dengan mudah menjadi kecaman. Ada pula yang mengatakan perlakuan pihak polis agak keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan. Soalnya kenapa peranan polis begitu dipertikaikan sekarang?

Seingat Sultanik, dahulu pihak polis tidak begitu teruk dikecam dan dipertikaikan berbanding ketika PDRM dibawah kendalian Datuk Seri Hishammuddin sekarang. Meskipun dahulu wujud juga pertikaian dan kecaman terhadap pihak polis, tetapi ianya tidaklah seteruk sekarang ini.

Pihak polis dibawah kendalian Datuk Seri Hishammuddin sekarang bukan saja dipertikaikan oleh rakyat biasa, malahan golongan istana turut dicatat mempunyai  sejarah rasa ketidakyakinan yang sama terhadap pihak polis.

Dalam kemelut yang pernah melanda Istana Kelantan tidak berapa lama dulu, anakanda Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra iaitu Tengku Muhammad Fakhry Petra pernah menyaman pihak polis atas dakwaan menahan dan mengurung beliau secara tidak sah.

Ia berikutan insiden rombongan Sultan Ismail Petra yang ketika itu mahu mendapatkan rawatan ke Singapura telah dikepung oleh pihak polis dan Tengku Fakhry serta Raja Perempuan Kelantan adalah antara yang ditahan dan dikepung oleh pihak polis untuk tempoh beberapa jam.

Tidak puas hati dengan tindakan itu yang dianggap mencabuli haknya, maka Tengku Fakhry telah membawa kes itu ke mahkamah dan proses pengurusan kes tersebut masih lagi berjalan sehingga kini.

Sebenarnya banyak lagi  yang boleh Sultanik paparkan tentang rasa ketidakpuasan hati pelbagai golongan rakyat terhadap pihak polis selain daripada isu Bersih dan yang melibatkan saman oleh Tengku Fakhry itu. Tambah pula dalam beberapa isu semasa yang sedang berlaku sekarang seperti isu Datuk Seri Nizar dengan Sultan Johor dan beberapa insiden keganasan yang melibatkan beberapa kerabat diraja,  mahu tidak mahu, polis terus lagi menjadi pertikaian.

Tetapi dalam semua isu itu, tentulah yang paling mencabar bilamana pihak istana dan kerabat diraja sendiri menyerlahkan rasa tidak puas hati dan tidak yakin terhadap pihak polis. Mungkin ada rakyat yang beranggapan, jika kerabat diraja pun dilayan sedemikian rupa, apatah lagi rakyat biasa!

Sekali lagi, banyak pertanyaan yang disuarakan kepada Sultanik, kenapa polis dibawah kendalian Datuk Seri Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri ini begitu banyak sekali dipertikai dan dipersoalkan?

Sultanik sendiri tidak ada jawapan yang khusus mengenai persoalan ini tetapi jika kita rajin menyelak helaian-helaian sejarah dan membandingkan Menteri Dalam Negeri sekarang dengan Menteri-Menteri Dalam Negeri sebelum ini terutamanya Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tun Musa Hitam dan lain-lainnya, kita mungkin mendapat jawapan mengenainya. (9.59pm 07/07/2012)