Wednesday, 12 September 2012
Saman Tengku Fakhry Terhadap KPN Dibicara Oktober Depan
Hari Selasa lalu telah mencatat sejarah tersendiri dalam sistem perundangan negara ini bila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 dan 9 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan saman oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Sultan Ismail Petra terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain berhubung dakwaan silap menahan beliau pada Ogos 2009 lalu.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut di kamarnya pada Selasa, 11 September lalu.
Plaintif iaitu Tengku Fakhry telah memfailkan saman berjumlah RM150 juta pada 9 Disember tahun lalu dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, ketua pegawai peribadi Sultan Kelantan ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM sebagai defendan pertama hingga keempat dalam tuntutan samannya.
Dalam tuntutannya, Tengku Fakhry mendakwa beliau ditahan secara silap pada 30 Ogos 2009 di kawasan Istana Mahkota, Kubang Kerian semasa memandu kereta Bently Brooklands.
Dakwanya, beliau memandu kenderaan itu atas arahan Sultan Kelantan ketika itu iaitu Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura tetapi ditegah berbuat demikian oleh kakitangan polis yang menutup pintu istana atas perintah defendan kedua dan ketiga.
Beliau juga mendakwa bahawa polis telah menahannya selama satu jam sebelum dibenarkan keluar daripada Istana Mahkota tetapi tanpa dibenarkan membawa kenderaan tersebut.
Merujuk penahanan itu sebagai berniat jahat (mala fide) dan salah disisi undang-undang, Tengku Fakhry menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, RM50 juta ganti rugi buruk serta contoh, faedah pada kadar 4 peratus serta lain-lain kos.
Sultanik menganggap kes perbicaraan ini bakal mencatat sejarah tersendiri dalam menuntu keadilan kerana inilah pertama kali di negara ini dan mungkin juga di dunia, seorang anak raja kepada Sultan yang sedang berkuasa berkuasa ketika kejadian, memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia atas dakwaan menahannya secara silap, berniat jahat serta salah di sisi undang-undang.
Pihak polis yang saban hari menerima pelbagai kecaman daripada rakyat dalam pelbagai isu sama ada yang melibatkan tahanan kena pukul, menyuraikan perhimpunan awam, layanan terhadap pembangkang serta lain-lainnya, sudah tentu sekali diuji dalam khidmat mereka kepada masyarakat dalam kes perbicaraan ini.
Kes ini sudah tentu menjadi penanda aras kebolehpercayaan rakyat terhadap profesionalisme pihak polis kerana seorang anak raja sendiri berasakan dirinya dilayan secara yang tidak wajar sehingga terpaksa menuntut keadilan di mahkamah.
Barangkali ada beranggapan kalau seorang anak raja pun merasakan dilayan secara tidak wajar, apakah jaminan rakyat biasa sentiasa memperolehi keadilan dan khidmat yang terbaik daripada pihak polis.
Sama-samalah kita tunggu perbicaraan pada 8 dan 9 Oktober depan dan apa yang diharapkan keadilan yang dituntut benar-benar dapat diperolehi supaya ia menjadi cerminan teladan kepada rakyat seluruhnya yang mengharapkan keadilan dan sentiasa dilindungi oleh undang-undang dalam kehidupan seharian masing-masing. (9.21pm 12/09/2012)
Monday, 10 September 2012
Dimanakah Datuk Sukri Sekarang?
Datuk Sukri adalah watak penting dalam krisis Istana Kelantan sebelum ini. Beliaulah yang dikatakan memberi nasihat dan menafsir Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan sehingga akhirnya Tengku Muhammad Faris Petra dapat menaiki takhta Sultan Kelantan dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.
Ketika itu Sultan Ismail Petra yang bertakhta sebagai Sultan Kelantan sedang gering manakala Tengku Muhammad Faris Petra pula adalah Tengku Mahkota.
Datuk Sukri yang juga seorang peguam dan bekas Ahli Parlimen melalui peranan yang dimainkannya ketika krisis Istana Kelantan ketika itu turut berjaya menjadikan dirinya sebagai Penasihat Sultan Muhammad V.
Tetapi di manakah beliau sekarang? Khabarnya beliau sudah dipecat dan tidak lagi menjadi Penasihat Sultan Muhammad V setelah tembelang dan taring sebenarnya terserlah. Namun tiada kedapatan bukti rasmi pemecatan itu, cuma yang jelasnya kedudukan beliau telah terpinggir daripada Istana Kelantan.
Peranannya tidak kelihatan dan kedengaran lagi. Kalau dulu beliau sering muncul melalui media menghuraikan sesuatu perkara yang melibatkan Istana Kelantan tetapi kelibatnya tidak lagi kelihatan sekarang ini.
Kehadirannya dalam majlis-majlis rasmi Istana Kelantan juga sudah tiada lagi.
Datuk Sukri dikatakan dimurkai oleh Sultan Muhammad V berikutan terdedahnya perbuatan pecah amanah yang dikatakan melibat beliau dan Yayasan Sultan Kelantan berjumlah RM700 ribu.
Perbuatan itu difahamkan dikesan oleh Sultan Muhammad V sendiri melalui surat daripada sebuah syarikat pembalakan, Fajar Forest Development Sdn Bhd kepada Baginda bertarikh 25 September 2011. Surat itu dihantar berikutan Sultan Muhammad V tidak mengampuni perkenan syarikat yang beroperasi di Kampung Puteh, Jalan Kuala Krai untuk mendapatkan permohonan lain.
Menerusi surat penjelasan yang ditandatangai oleh Pengarahnya, Wan Md Mokhtar Wan Ab Rahman, atas kelulusan projek kajian pembalakan di kawasan Hutan Tanah Tinggi melebihi 1,000 meter pada 4 Mei 2011, syarikat Fajar Forest bersetuju memberikan sumbangan kepada yayasan bekenaan sebanyak RM700 ribu.
Namun demikian, Datuk Sukri difahamkan telah mengarahkan Wan Md Mokhtar untuk menyerahkan sumbangan berkenaan kepadanya dan beliau yang akan mengagih-agihkan sumbangan berkenaan kemudiannya. Datuk Sukri juga dikatakan mengarahkan Wan Md Mokhtar supaya menyimpan wang berkenaan di dalam akaun bank Wan Md Mokhtar dan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa atas permintaan beliau.
Selain daripada surat itu, Wan Md Mokhtar turut mengemukakan kronologi iaitu bermula daripada permohonan dan tarikh keluar wang yang beliau lakukan untuk tatapan Sultan Muhammad V. Salinan surat berkenaan turut dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Sebaik mendapat tahu dan jelas mengenai penyelewengan dan salah laku itu, Sultanik difahamkan Sultan Muhammad V begitu malu dan murka terhadap Datuk Sukri. Sejak itu Baginda difahamkan tidak memperkenankan segala program dan agenda yang membabitkan Datuk Sukri.
Sejak itu juga peranannya sebagai penasihat tidak lagi diperlukan.
Sehingga ini tidak diketahui di mana dan kepada siapa pula Datuk Sukri memberi nasihat guamannya tetapi yang jelas peranannya sebagai Penasihat Sultan Muhammad V sudah tidak berfungsi lagi.
Semuanya gara-gara salah laku dan mudah gelap mata! (1.58pm 10/09/2012)
Subscribe to:
Posts (Atom)