Tuesday, 9 October 2012
Bermulanya Perjuangan Menuntut Keadilan
Kes saman Tengku Muhammad Fakhry Petra untuk menuntut keadilan atas penahanannya yang didakwa secara silap oleh pihak polis pada 30 Julai 2009 di kawasan Istana Mahkota, Kubang Kerian bermula semalam.
Beliau menuntut ganti rugi am RM100 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teruk serta contoh, faedah pada kadar empat peratus dan lain-lain. Samannya dikemukakan terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM sebagai defendan pertama hingga keempat.
Beliau mengemukakan saman itu kerana mendakwa penahanannya dilakukan secara silap dan tidak sah ketika memandu kereta Bently Brooklands atas arahan ayahandanya Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura.
Tengku Fakhry juga mendakwa bahawa polis telah menahannya selama satu jam sebelum dibenarkan keluar daripada Istana Mahkota tetapi tidak dibenarkan membawa keluar kenderaan tersebut.
Semalam ketika di Mahkamah Tinggi, Tengku Fakhry memberitahu beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang berunsur jenayah semasa pihak polis menahannya.
Tambahnya, beliau juga tidak diberitahu sama ada telah melakukan sebarang kesalahan berunsur jenayah atau sebaliknya dan tidak tahu mengapa dirinya ditahan.
"Saya telah ditahan sekurang-kurangnya selama satu jam sebelum dibebaskan," katanya
Menceritakan semula detik kejadian, Tengku Fakhry berkata beliau mengambil kereta itu dari garaj Istana Mahkota kerana dititahkan oleh ayahandanya untuk membawanya dari Istana Mahkota ke Singapura.
Bagaimanapun, katanya semasa dalam perjalanan untuk membawa keluar kenderaan itu. terdapat sebuah kereta Volvo menghalang perjalanannya dan pintu utama Istana Mahkota juga ditutup.
Seterusnya Tengku Fakhry berkata, beliau nampak beberapa anggota polis yang bersenjata keluar masuk ke dalam istana, lalu menyebabkannya berasa amat takut.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan saman terhadap defendan pertama hingga keempat kerana merasakan kebebasan dan hak asasinya telah disekat tanpa sebab munasabah.
Dengan bermulanya perbicaraan kes berprofil tinggi dan pertama kali dalam sejarah yang dikemukakan oleh seorang anak raja yang masih berdaulat ketika itu, kes ini tentunya menarik perhatian semua pihak yang cintakan keadilan, kebebasan serta hak masing-masing dilindungi oleh undang-undang.
Sultanik dan semua orang tentunya mempunyai pendirian yang sama iaitu keadilan mestilah ditegakkan dan dikembalikan kepada yang hak. Semoga perbicaraan ini terus membuka mata dan hati kita. (3.02 09/10/12)
Subscribe to:
Posts (Atom)