Tuesday, 9 October 2012

Bermulanya Perjuangan Menuntut Keadilan


Kes saman Tengku Muhammad Fakhry Petra untuk menuntut keadilan atas penahanannya yang didakwa secara silap oleh pihak polis pada 30 Julai 2009 di kawasan Istana Mahkota, Kubang Kerian bermula semalam.

Beliau menuntut ganti rugi am RM100 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teruk serta contoh, faedah pada kadar empat peratus dan lain-lain. Samannya dikemukakan terhadap Ketua  Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM sebagai defendan pertama hingga keempat.

Beliau mengemukakan saman itu kerana mendakwa penahanannya dilakukan secara silap dan tidak sah ketika memandu kereta Bently Brooklands atas arahan ayahandanya Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura.

Tengku Fakhry juga mendakwa bahawa polis telah menahannya selama satu jam sebelum dibenarkan keluar daripada Istana Mahkota tetapi tidak dibenarkan membawa keluar kenderaan tersebut.

Semalam ketika di Mahkamah Tinggi, Tengku Fakhry memberitahu beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang berunsur jenayah semasa pihak polis menahannya.

Tambahnya, beliau juga tidak diberitahu sama ada telah melakukan sebarang kesalahan berunsur jenayah atau sebaliknya dan tidak tahu mengapa dirinya ditahan.

"Saya telah ditahan sekurang-kurangnya selama satu jam sebelum dibebaskan," katanya

Menceritakan semula detik kejadian, Tengku Fakhry berkata beliau mengambil kereta itu dari garaj Istana Mahkota kerana dititahkan oleh ayahandanya untuk membawanya dari Istana Mahkota ke Singapura.

Bagaimanapun, katanya semasa dalam perjalanan untuk membawa keluar kenderaan itu. terdapat sebuah kereta Volvo menghalang perjalanannya dan pintu utama Istana Mahkota juga ditutup.

Seterusnya Tengku Fakhry berkata, beliau nampak beberapa anggota polis yang bersenjata keluar masuk ke dalam istana, lalu menyebabkannya berasa amat takut.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan saman terhadap defendan pertama hingga keempat kerana merasakan  kebebasan dan hak asasinya telah disekat tanpa sebab munasabah.

Dengan bermulanya perbicaraan kes berprofil tinggi dan pertama kali  dalam sejarah yang dikemukakan oleh seorang anak raja yang masih berdaulat ketika itu, kes ini tentunya menarik perhatian semua pihak yang cintakan keadilan, kebebasan serta hak masing-masing dilindungi oleh undang-undang.

Sultanik dan semua orang tentunya mempunyai pendirian yang sama iaitu keadilan mestilah ditegakkan dan dikembalikan kepada yang hak. Semoga perbicaraan ini terus membuka mata dan hati kita. (3.02 09/10/12)

Wednesday, 12 September 2012

Saman Tengku Fakhry Terhadap KPN Dibicara Oktober Depan


Hari Selasa lalu telah mencatat sejarah tersendiri dalam sistem perundangan  negara ini bila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 dan 9 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan saman oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Sultan Ismail Petra terhadap  Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain berhubung dakwaan silap menahan beliau pada Ogos 2009 lalu.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut di kamarnya pada Selasa, 11 September lalu.


Plaintif iaitu Tengku Fakhry telah memfailkan saman berjumlah RM150 juta pada 9 Disember tahun lalu dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, ketua pegawai peribadi Sultan Kelantan  ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan  Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM sebagai defendan pertama hingga keempat dalam tuntutan samannya.

Dalam tuntutannya, Tengku Fakhry mendakwa beliau ditahan secara silap pada 30 Ogos 2009 di kawasan Istana Mahkota, Kubang Kerian semasa memandu kereta Bently Brooklands.

Dakwanya,  beliau memandu kenderaan itu atas arahan Sultan Kelantan ketika itu iaitu Sultan Ismail Petra untuk dihantar ke Singapura tetapi ditegah berbuat demikian oleh kakitangan polis yang menutup pintu istana atas perintah defendan kedua dan ketiga.

Beliau juga mendakwa bahawa polis telah menahannya selama satu jam sebelum dibenarkan keluar daripada Istana Mahkota tetapi tanpa  dibenarkan membawa kenderaan tersebut.

Merujuk penahanan itu sebagai berniat jahat (mala fide) dan salah disisi undang-undang, Tengku Fakhry menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, RM50 juta ganti rugi buruk serta contoh, faedah pada kadar 4 peratus serta lain-lain kos.

Sultanik menganggap kes perbicaraan ini bakal mencatat sejarah tersendiri dalam menuntu keadilan kerana inilah pertama kali di negara ini dan mungkin juga di dunia, seorang anak raja kepada Sultan yang sedang berkuasa berkuasa ketika kejadian, memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia atas dakwaan menahannya secara silap, berniat jahat serta salah di sisi undang-undang.

Pihak polis yang saban hari menerima pelbagai kecaman daripada rakyat dalam pelbagai isu sama ada yang melibatkan tahanan kena pukul, menyuraikan perhimpunan awam, layanan terhadap pembangkang serta lain-lainnya, sudah tentu sekali diuji dalam khidmat mereka kepada masyarakat dalam kes perbicaraan ini.

Kes ini sudah tentu menjadi penanda aras kebolehpercayaan rakyat terhadap profesionalisme pihak polis kerana seorang anak raja sendiri berasakan dirinya dilayan secara yang tidak wajar sehingga terpaksa menuntut keadilan di mahkamah.

Barangkali ada beranggapan kalau seorang anak raja pun merasakan dilayan secara tidak wajar, apakah jaminan rakyat biasa sentiasa memperolehi keadilan dan khidmat yang terbaik daripada pihak polis.

Sama-samalah kita tunggu perbicaraan pada 8 dan 9 Oktober depan dan apa yang diharapkan keadilan yang dituntut benar-benar dapat diperolehi supaya ia menjadi cerminan teladan kepada rakyat seluruhnya yang mengharapkan keadilan dan sentiasa dilindungi oleh undang-undang dalam kehidupan seharian masing-masing. (9.21pm 12/09/2012)


Monday, 10 September 2012

Dimanakah Datuk Sukri Sekarang?


Datuk Sukri adalah watak penting dalam krisis Istana Kelantan sebelum ini.  Beliaulah yang dikatakan memberi nasihat dan menafsir Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan sehingga akhirnya Tengku Muhammad Faris Petra dapat menaiki takhta Sultan Kelantan dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.

Ketika itu Sultan Ismail Petra yang bertakhta sebagai Sultan Kelantan sedang gering manakala Tengku Muhammad Faris Petra pula adalah Tengku Mahkota.

Datuk Sukri yang juga seorang peguam dan bekas Ahli Parlimen melalui peranan yang dimainkannya ketika krisis Istana Kelantan  ketika itu turut berjaya  menjadikan dirinya sebagai Penasihat Sultan Muhammad V.

Tetapi di manakah beliau sekarang? Khabarnya beliau sudah dipecat dan tidak lagi menjadi Penasihat Sultan Muhammad V setelah tembelang dan taring sebenarnya terserlah. Namun tiada kedapatan bukti rasmi pemecatan itu, cuma yang jelasnya kedudukan beliau telah terpinggir daripada Istana Kelantan.

Peranannya tidak kelihatan dan kedengaran lagi. Kalau dulu beliau sering muncul melalui media menghuraikan sesuatu perkara yang melibatkan Istana Kelantan tetapi kelibatnya tidak lagi kelihatan sekarang ini.

Kehadirannya dalam majlis-majlis rasmi Istana Kelantan juga sudah tiada lagi.

Datuk Sukri dikatakan dimurkai oleh Sultan Muhammad V berikutan terdedahnya perbuatan  pecah amanah yang dikatakan melibat beliau dan Yayasan Sultan Kelantan berjumlah RM700 ribu.

Perbuatan itu difahamkan dikesan oleh Sultan Muhammad V sendiri melalui surat daripada sebuah syarikat pembalakan, Fajar Forest Development Sdn Bhd kepada Baginda bertarikh 25  September 2011. Surat itu dihantar berikutan Sultan Muhammad V tidak mengampuni perkenan syarikat yang beroperasi di Kampung Puteh, Jalan Kuala Krai untuk mendapatkan permohonan lain.

Menerusi surat penjelasan yang ditandatangai oleh Pengarahnya, Wan Md Mokhtar Wan Ab Rahman, atas kelulusan projek kajian pembalakan di kawasan Hutan Tanah Tinggi melebihi 1,000 meter pada 4 Mei 2011, syarikat Fajar Forest bersetuju memberikan sumbangan kepada yayasan bekenaan sebanyak RM700 ribu.

Namun demikian, Datuk Sukri difahamkan telah mengarahkan Wan Md Mokhtar untuk menyerahkan sumbangan berkenaan kepadanya dan beliau  yang akan mengagih-agihkan sumbangan berkenaan kemudiannya.  Datuk Sukri juga dikatakan mengarahkan Wan Md Mokhtar supaya menyimpan wang berkenaan di dalam akaun bank Wan Md Mokhtar dan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa atas permintaan beliau.

Selain daripada surat itu, Wan Md Mokhtar turut mengemukakan kronologi iaitu  bermula daripada permohonan dan tarikh keluar wang yang beliau lakukan untuk tatapan Sultan Muhammad V. Salinan surat berkenaan turut dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Sebaik mendapat tahu dan jelas mengenai penyelewengan dan salah laku itu, Sultanik difahamkan Sultan Muhammad V begitu malu dan murka terhadap Datuk Sukri. Sejak itu Baginda difahamkan tidak memperkenankan segala program dan agenda yang membabitkan Datuk Sukri.

Sejak itu juga peranannya sebagai penasihat tidak lagi diperlukan.

Sehingga ini tidak diketahui di mana dan kepada siapa pula Datuk Sukri memberi nasihat guamannya tetapi yang jelas peranannya sebagai Penasihat Sultan Muhammad V sudah  tidak berfungsi lagi.

Semuanya gara-gara salah laku dan mudah gelap mata! (1.58pm 10/09/2012)

Saturday, 7 July 2012

Kenapa Polis Dibawah Kendalian Hishammuddin Tidak Diyakini Rakyat?


Sejak kebelakangan ini, isu ketidakyakinan rakyat terhadap institusi polis begitu banyak sekali diperkatakan. Meskipun peranan polis dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat dan pengorbanan mereka berhujan dan berpanas tidak boleh dinafikan tetapi dalam hal-hal tertentu, pihak polis juga kadangkala terdedah kepada pertikaian, malah kadangkala kebencian di kalangan rakyat.

Dalam isu yang melibatkan politik misalnya, peranan pihak polis seringkali dipertikaikan dan polis sering dikecam kerana dikatakan terlalu memihak kepada parti yang sedang berkuasa. Apa yang berlaku dalam Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0, polis nampaknya begitu teruk menjadi kecaman masyarakat melalui pelbagai aksi yang dianggap keterlaluan ditunjukkan oleh mereka meskipun dalam ertikata mahu menangani keganasan serta rusuhan.

Melalui pelbagai paparan video yang tersebar secara meluas melalui internet, tidak dapat dinafikan bahawa pihak polis dengan mudah menjadi kecaman. Ada pula yang mengatakan perlakuan pihak polis agak keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan. Soalnya kenapa peranan polis begitu dipertikaikan sekarang?

Seingat Sultanik, dahulu pihak polis tidak begitu teruk dikecam dan dipertikaikan berbanding ketika PDRM dibawah kendalian Datuk Seri Hishammuddin sekarang. Meskipun dahulu wujud juga pertikaian dan kecaman terhadap pihak polis, tetapi ianya tidaklah seteruk sekarang ini.

Pihak polis dibawah kendalian Datuk Seri Hishammuddin sekarang bukan saja dipertikaikan oleh rakyat biasa, malahan golongan istana turut dicatat mempunyai  sejarah rasa ketidakyakinan yang sama terhadap pihak polis.

Dalam kemelut yang pernah melanda Istana Kelantan tidak berapa lama dulu, anakanda Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra iaitu Tengku Muhammad Fakhry Petra pernah menyaman pihak polis atas dakwaan menahan dan mengurung beliau secara tidak sah.

Ia berikutan insiden rombongan Sultan Ismail Petra yang ketika itu mahu mendapatkan rawatan ke Singapura telah dikepung oleh pihak polis dan Tengku Fakhry serta Raja Perempuan Kelantan adalah antara yang ditahan dan dikepung oleh pihak polis untuk tempoh beberapa jam.

Tidak puas hati dengan tindakan itu yang dianggap mencabuli haknya, maka Tengku Fakhry telah membawa kes itu ke mahkamah dan proses pengurusan kes tersebut masih lagi berjalan sehingga kini.

Sebenarnya banyak lagi  yang boleh Sultanik paparkan tentang rasa ketidakpuasan hati pelbagai golongan rakyat terhadap pihak polis selain daripada isu Bersih dan yang melibatkan saman oleh Tengku Fakhry itu. Tambah pula dalam beberapa isu semasa yang sedang berlaku sekarang seperti isu Datuk Seri Nizar dengan Sultan Johor dan beberapa insiden keganasan yang melibatkan beberapa kerabat diraja,  mahu tidak mahu, polis terus lagi menjadi pertikaian.

Tetapi dalam semua isu itu, tentulah yang paling mencabar bilamana pihak istana dan kerabat diraja sendiri menyerlahkan rasa tidak puas hati dan tidak yakin terhadap pihak polis. Mungkin ada rakyat yang beranggapan, jika kerabat diraja pun dilayan sedemikian rupa, apatah lagi rakyat biasa!

Sekali lagi, banyak pertanyaan yang disuarakan kepada Sultanik, kenapa polis dibawah kendalian Datuk Seri Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri ini begitu banyak sekali dipertikai dan dipersoalkan?

Sultanik sendiri tidak ada jawapan yang khusus mengenai persoalan ini tetapi jika kita rajin menyelak helaian-helaian sejarah dan membandingkan Menteri Dalam Negeri sekarang dengan Menteri-Menteri Dalam Negeri sebelum ini terutamanya Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tun Musa Hitam dan lain-lainnya, kita mungkin mendapat jawapan mengenainya. (9.59pm 07/07/2012)

Friday, 22 June 2012

Raja Dan Rakyat Berpisah Tiada

Minggu-minggu kebelakangan ini, isu hubungan Raja dengan rakyat kembali menjadi perbualan di mana-mana dan diperkatakan oleh ramai orang. Di laman sosial facebook, twitter serta blog pula bermacam-macam komen dan pandangan dapat dibaca mengenai perkara yang sama.

Isu ini bermula dengan komen bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang dilihat seolah-olah mempertikaikan kewajaran Sultan Johor membida nombor plat WWW 1 dengan harga RM520,000.

Kemudian dari itu, pelbagai komen pro dan kontra diluahkan oleh pelbagai pihak, termasuk kemurkaan Sultan Johor sendiri terhadap pihak yang mempertikaikan tindakan baginda itu sebagaimana yang dititahkan sempena perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Johor, baru-baru ini.

Meskipun pelbagai perkara dapat dibaca dan didedahkan mengenai isu Raja dan rakyat ini, hakikatnya rakyat dari semua kelompok, lapisan, latar belakang dan warna kulit tetap menerima kedudukan Raja-Raja sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Sultanik tidak bermaksud tidak baik tetapi sekadar mengingatkan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa agar menangani isu-isu yang berlaku antara Raja dan rakyat ini dengan cermat, adil dan tidak memilih bulu.

Tidak ada siapa mempertikaikan tindakan yang mahu diambil terhadap Datuk Seri Nizar atas keterlanjurannya itu tetapi harus juga diambil kira permohonan ampun yang telah dibuatnya selepas itu. Dalam hal ini, beliau seolah-olah mengakui keterlanjurannya, menyesal dan mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat ketika mahu membuat komen sebelum itu.

Begitu juga, tidak ada yang mempertikaikan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa keatas seorang jurutera yang didapati bersalah menghina Sultan Perak dan sudah pun dijatuhi hukuman. Tetapi apa yang rakyat mahukan ialah agar pihak berkuasa terutamanya Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri haruslah benar-benar jujur dan adil dalam mengambil tindakan.

Ketika berlaku krisis dalam Istana Kelantan beberapa tahun lalu, pelbagai komen dan perbuatan yang boleh dianggap menderhaka kepada Tuanku Sultan Ismail Petra telah dapat dibaca dan dtonton oleh rakyat negara ini sama ada melalui akhbar,televisyen, blog dan sebagainya.

Malangnya, sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan diambil meskipun sesetengah komen oleh pihak tertentu terhadap Tuanku Sultan Ismail Petra didapati amat tidak wajar dan jauh lebih teruk daripada komen yang dilakukan oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Dalam tindakan pihak polis UTK mengepung kenderaan Tuanku Sultan Ismail Petra misalnya, sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil meskipun pelbagai laporan telah dibuat mengenainya. Sultanik tidak mahulah jika pihak berkuasa tidak tegas dan memilih bulu dalam bertindak, ia lama-kelamaan akan meletakkan hubungan Raja dengan rakyat akan terjejas dan akhirnya merugikan banyak pihak terutamanya kedudukan orang-orang Melayu sen.

Lebih malang lagi, kiranya pihak berkuasa turut dipersalahkan sama atas berlakunya perkara itu. Dalam hal ini Perdana Menteri mestilah menunjukkan ketegasannya serta mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara agar bertindak dengan adil dalam semua kes yang melibatkan Raja dengan rakyat.

Sultanik percaya, jika tindakan yang tegas dan tidak berpilih-pilih dapat diambil terhadap sesiapa saja yang didapati menderhaka dan menghina Raja-Raja, tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya dan tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hubungan Raja dengan rakyat meski apa badai dan gelora sekalipun yang melanda. Ini sekaligus akan memantapkan lagi hakikat bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada. (9.57 pagi 22/06/2012)

Wednesday, 13 June 2012

Benarkah UMNO Pembela Raja-Raja?


Apabila timbul isu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang didakwa mempertikaikan Sultan Johor berhubung nombor plat kenderaan WWW 1, UMNO nampaknya begitu lantang bersuara mempertahankan kedudukan Raja-Raja dari sebarang unsur penghinaan dan penderhakaan sambil mengecam tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Pas itu.

Pemuda UMNO Johor yang bernaung dibawah NGO Majlis Penyelaras Gabungan Bukan Kerajaan Negeri Johor (Gabung) kemudiannya telah menganjurkan perhimpunan di Istana Pasir Pelangi, kediaman rasmi Sultan Johor bagi menyatakan sokongan terhadap baginda.

Perhimpunan itu didakwa berjaya mengumpulkan seramai kira-kira 30 ribu rakyat Johor daripada pelbagai kaum dan lapisan.

Dalam masa yang sama, suara-suara sokongan dan pembelaan pemimpin UMNO terhadap kedudukan dan sebarang unsur penghinaan terhadap institusi Raja terus lantang kedengaran dan bergema di sana-sini. Lantas UMNO dilihat sebagai pembela Raja-Raja paling berwibawa.

Soalnya, benarkah UMNO pembela Raja-Raja yang konsisten?

Sultanik tidaklah bermaksud prejudis terhdap UMNO dan para pemimpinnya tetapi sekadar ingin mengimbas beberapa peristiwa yang pernah berlaku beberapa tahun lalu terhadap Raja-Raja untuk renungan kita bersama.

Ketika UMNO mahu meminda pelembagaan yang bertujuan menghapuskan kekebalan Raja-Raja pada 1993, jika kita masih ingat, ketika itu serangan terhadap perkara-perkara peribadi berkaitan Raja-Raja dilakukan begitu hebat dan melampau sekali.

Pelbagai perkara telah didedahkan kepada umum termasuk pemilikan harta, kekayaan, perbelanjaan, dakwaan pembaziran, campurtangan dalam pentadbiran kerajaan dan lain-lain hal yang bersifat amat sulit untuk diketahui rakyat dengan tujuan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap Raja-Raja dan seterusnya menyokong pindaan perlembagaan itu.

Selain itu, UMNO juga mengadakan roadshow ke merata tempat untuk menyerang dan menghentam Raja-Raja dan kemudian disiarkan pula melalui akhbar serta televisyen sedangkan Raja-Raja langsung tidak berpeluang mempertahankan diri atau membalas serangan yang dilakukan itu.

Sebagai sebuah negara yang mengiktiraf kedudukan Raja-Raja, apakah tindakan UMNO ketika itu dianggap membela Raja-Raja?

Dan baru-baru ini didedahkan oleh seorang kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan, bagaimana ketika proses mahu meminda perlembagaan itu, Tuanku Jaafar yang ketika itu menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Yang Dipertuan Agong, turut menerima ugutan daripada seorang menteri UMNO yang mahu mengheret Raja-Raja ke jalanraya dan mencampakkan ke dalam kawah jika tidak mahu menandatangai persetujuan pindaan tersebut.

Sekali lagi, soalan dari Sultanik, apakah tindakan  yang tidak menghormati Raja-Raja dan biadap itu menandakan UMNO dan pemimpinnya sepanjang masa membela Raja-Raja?

Dan baru tidak sampai tiga tahun yang lalu, UMNO sekali lagi dianggap melakukan tindakan yang tidak menghormati institusi Diraja apabila tidak bertindak apa-apa terhadap perbuatan anggota UTK yang menyerbu kenderaan Tuanku Sultan Ismail Petra ketika baginda dalam perjalanan untuk keluar dari Istana Mahkota bagi mendapatkan rawatan perubatan di Singapura.

Memandangkan ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra masih merupakan Raja yang berdaulat, sudah tentu tindakan anggota UTK itu juga merupakan perbuatan yang menghina dan derhaka kepada Raja.

Tetapi apa tindakan UMNO ketika itu?

Sultanik juga ingin bertanya lagi, apakah tindakan itu membuktikan UMNO benar-benar pembela kepada institusi Raja di negara ini?

Bagi Sultanik, memanglah perbuatan Datuk Seri Nizar mempertikaikan pembelian plat kenderaan oleh Sultan Johor itu sesuatu yang tidak wajar tetapi ini tidaklah bermakna apa yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Perak itu lebih besar kesalahannya daripada apa yang dilakukan oleh UMNO kepada Raja-Raja  pada tahun 1993 atau ketika UTK mengepung Tuanku Sultan Ismail Petra itu.

Jika diimbas apa yang telah dilakukan oleh UMNO dan dapat dibaca kembali keratan-keratan akhbar atau video ucapan bagaimana cabulnya mulut pemimpin UMNO menghentam Raja-Raja pada 1993 itu, sebenarnya dengan sendirinya kedudukan UMNO sebagai pembela Raja-Raja  sudah lama terbatal. Sejarah telah membuktikan hakikat ini.  (9.07am 12/06/2012)

Thursday, 7 June 2012

Jangan Lupa Penderhakaan Kepada Sultan Ismail Petra



Sejak kebelakangan ini beberapa isu berkaitan penderhakaan kepada institusi Diraja timbul kembali.  Seorang jurutera, Chan Hon Keong dijatuhi hukuman setahun penjara dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth setelah didapati bersalah menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Beliau didapati melakukan kesalahan itu dengan membuat komen yang berunsur lucah dan menghina institusi Diraja Perak melalui ruang siber.



Dalam masa yang sama, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga khabarnya akan disoal siasat oleh polis Rabu ini berhubung komennya dalam Twitter yang mempertikaikan kejayaan Sultan Johor memenangi bidaan keatas nombor pendaftaran WWW 1 yang bernilai RM520,000.

Dengan tindakan pantas pihak polis mahu membuka kertas siasatan dan menyoal siasat Datuk Seri Nizar itu membayangkan bahawa sesuatu tindakan juga bakal diambil atas kesalahan menghina dan menderhaka kepada Sultan Johor.

Rakyat pelbagai peringkat juga nampaknya gembira dengan ketegasan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perkara itu.

Sultanik  memang mengalu-alukan kedua-dua keputusan itu kerana ia melambangkan ketegasan terhadap perbuatan yang boleh dianggap menghina dan menderhaka kepada institusi Diraja. Kita tidak mahu jika tindakan tidak segera diambil, dibimbangi akan berlaku penghinaan dan penderhakaan yang lebih besar lagi di masa-masa hadapan kepada institusi Diraja ini.

Sebelum berlaku sesuatu perkara yang lebih besar, maka ia haruslah dicegah di peringkat awal lagi.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Raja Berperlembagaan di tempatnya yang sendiri dan disanjung sebagai lambang keharmonian dan kedaulatan, tidak ada sesiapa pun yang bersetuju berlakunya penghinaan serta penderhakaan kepada Raja yang sedang bertakhta. 

Tetapi sementara kita menyanjung keputusan mahkamah dan tindakan segera pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menghina institusi Diraja, Sultanik ingin mengimbas kepada beberapa peristiwa yang berlaku terhadap Tuanku Sultan IsmIl Petra, kira-kira dua tahun lau.

Ketika itu, Tuanku Sultan Ismail Petra bersama rombongan yang dalam perjalanan keluar dari istana menuju ke lapangan terbang bagi mendapatkan rawatan susulan di Singapura telah diserbu oleh sepasukan polis Unit Tindakan Khas (UTK)  yang bertopeng dan bersenjata bagi menghalang perjalanan tersebut.


Rombongan Diraja termasuk Tuanku Sultan Ismail Petra yang sedang uzur kemudiannya ditahan untuk beberapa jam dan akhirnya tidak dibenarkan meneruskan perjalanan bagi mendapatkan rawatan kesihatan di Singapura. Tuanku Sultan Ismail Petra hanya dibenarkan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kubang Kerian kemudiannya.

Bersama rombongan Diraja ketika itu termasuklah Raja Perempuan Kelantan dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra masih merupakan Sultan Kelantan. Tidakkah tindakan polis itu boleh dianggap menghina dan menderhaka kepada institusi Diraja juga?

Sultanik tidaklah bermaksud untuk menimbulkan polemik baru dalam hal ini tetapi sekadar mengharapkan keadilan yang mahu ditegakkan  oleh pihak berkuasa biarlah menyeluruh dan tidak berpilih-pilih.

Meskipun Sultanik difahamkan ada laporan polis dibuat terhadap kejadian yang menimpa Tuanku Sultan Ismail Perta itu tetapi sehingga ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.

Sultanik mungkin tidak pandai bab undang-undang tetapi pusing juga kepala memikirkan jika ada yang menganggap kesalahan membuat komen di ruang  siber dan Twitter itu lebih berat kesalahannya berbanding menyerbu dan mengepung rombongan Tuanku Sultan Ismail Petra oleh polis yang lengkap bersenjata?

Sekali lagi, apa yang Sultanik harapkan ialah keadilan yang menyeluruh dan tidak  berpilih-pilih. Sultanik percaya rakyat juga akan gembira jika keadilan dapat ditegakkan dalam hal ini, sebagaimana tindakan yang diambil terhadap kes-kes menghina serta menderhaka kepada institusi Diraja sebelum ini.






Saturday, 2 June 2012

Polis Oh Polis

Sejak perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 diadakan yang asasnya adalah untuk menuntut perjalanan pilihanraya yang adil dan bersih, turut menjadi perbualan rakyat ialah beberapa tindakan pihak polis yang dianggap keterlaluan serta tidak berperikemanusiaan dalam menangani sesuatu kejadian itu.

Ia bukan saja memperlihatkan bagaimana polis menembak gas pemedih mata dan menyembur air bagi menghalang kemaraan rakyat, bahkan terdapat juga insiden bagaimana pihak polis memukul, menendang serta mencederakan mereka yang dapat ditangkap secara yang tidak wajar.

Dalam beberapa video yang mudah dapat ditonton melalui Youtube, jelas dapat dilihat bagaimana polis yang seramai lebih lima orang telah memukul dan membelasah beberapa peserta perhimpunan dengan mengggunakan tangan, cota dan seolah-olah tanpa pertimbangan.

Termasuk menjadi sasaran pihak polis juga ialah wartawan yang turut mengadu dipukul oleh polis dan kemudiannya terlantar beberapa hari di hospital.

Sementara kejadian itu berleluasa dapat disaksikan oleh sebahagian besar rakyat yang mempunyai akses internet, pihak polis tidak pula tampil memohon maaf atau berjanji tidak mengulangi kejadian yang sama, sebaliknya hanya berdiam diri atau beberapa pihak tertinggi polis kemudiannya memberikan hujah-hujah pembelaan bagi mewajarkan semua tindakan itu.

Tetapi hakikatnya, dalam semua kejadian itu persepsi rakyat terhadap polis menjadi amat buruk sekali. Sementara diakui terdapat ramai anggota polis yang berhemah tinggi, mematuhi undang-undang dan menjalankan tugas pengorbanan yang sentiasa dikenang oleh rakyat seperti menjaga keselamatan awam dan keselesaan lalu lintas, tetapi perbuatan segelintir anggota dalam polis yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang itu ibarat "nila setitik, rosak susu sebelanga" jadinya.

Jika diimbas beberapa kejadian sebelum itu, sebenarnya terdapat juga beberapa insiden yang turut memberi kesan terhadap imej polis di mata rakyat tetapi yang paling ketara ialah dalam beberapa insiden ketika pergolakan dalam Istana Kelantan, lebih dua tahun lalu.

Sultanik tidaklah bertujuan apa-apa bila membangkitkan atau membandingkan perkara ini tetapi sekadar untuk renungan bersama bahawa bukan saja rakyat yang mengalami ketidakselesaan dan kekerasan daripada pihak polis, malahan ia juga turut berlaku kepada golongan Diraja yang pada hakikatnya merupakan payung kepada sebuah kerajaan dan rakyat di negara ini.

Pernah berlaku kejadian bagaimana kenderaan yang membawa Tuanku Sultan Ismail Petra untuk keluar dari istana telah dihalang dan dikepung oleh pasukan polis dan UTK yang lengkap bersenjata seolah-olah menyerbu sebuah kumpulan orang jahat yang juga bersenjata.  Ketika itu rombongan Diraja itu dalam perjalanan untuk membawa Tuanku Sultan Ismail Petra menerima rawatan kesihatan di Singapura.

Beberapa anggota rombongan Diraja termasuk Raja Perempuan Kelantan juga ditahan dan dikawal oleh polis seolah-olah mereka bukan keluarga diraja yang sedang bertakhta dan hanya dilepaskan beberapa jam kemudian. Tuanku Sultan Ismail Petra kemudiannya hanya dibenarkan menerima rawatan di Hospital Kubang Kerian sahaja.


Dalam kejadian yang lain, Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra juga menerima keadaan yang hampir sama. Selain beliau turut ditahan bersama rombongan Diraja ketika dalam perjalanan membawa Tuanku Sultan Ismail Petra mahu menerima rawatan itu, beliau juga pernah ditahan di Istana Mahkota, Kubang Kerian ketika mahu menghantar kereta Bently Brooklands kepada ayahandanya, Tuanku Sultan Ismail Petra yang ketika itu sedang dirawat di Singapura.

Oleh kerana merasakan penahanannya itu dilakukan secara tidak sah, tanpa sebarang alasan dan berniat jahat termasuk menggunakan senjata untuk menakut-nakutkannya, Tengku Fakhry telah mengemukakan saman terhadap PDRM sebanyak RM150 juta bagi menuntut keadilan, menyekat hak asasinya, memberikan tekanan mental serta memalukannya.

Saman ini masih dalam pengurusan kes sebelum ditentukan tarikh perbicaraannya. Pihak yang disaman oleh Tengku Fakhry ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Supritendan Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan ketika itu,  Datuk Abdul Rahim Hanafi dan  PDRM.

Beberapa kejadian ini, sama ada yang berlaku kepada rakyat biasa sehinggalah kepada keluarga Diraja, pada Sultanik amatlah memalukan dan tidak wajar bagi sebuah negara membangun dan beretika seperti Malaysia ini.

Setidak-tidaknya penambahbaikan dan profesionalisme pihak polis haruslah diangkat ke tahap yang lebih tinggi supaya imej polis sentiasa cantik dan dipandang baik oleh semua kelompok masyarakat. (12.12 pm 02/06/2012).



Tuesday, 22 May 2012

Kota Darul Naim Sudah Jadi Kota Larangan?

Kota Darul Naim adalah sebuah  kompleks Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan. Kompleks yang terletak di Kampung Puteh, Jalan Kota Bharu - Kuala Krai ini siap dibina dan dibuka dengan rasminya pada bulan Mac 1987.

Dengan seni binanya yang indah dan bergemerlapan dek limpahan cahaya neon pada waktu malam, kompleks tersebut sudah pasti menjadi kebanggaan kepada sesiapa saja rakyat Kelantan, tidak kira tua atau muda dan  semua kaum  juga berbangga dengannya.

Rakyat daripada  luar Kelantan dan pelancong  asing juga tertarik dengan tersergam indahnya kompleks tersebut dan sering menjadikan Kota Darul Naim sebagai kunjungan wajib sebaik menjejakkan kaki ke bumi Kelantan.

Sultanik sendiri amat bangga dengan adanya kompleks tersebut dan ianya secara tidak langsung melambangkan kemajuan negeri Kelantan itu sendiri.

Bagaimanapun, di sebalik segala rasa bangga dan gemerlapan cahaya Kota Darul Naim, tidak ramai yang tahu bahawa sebenarnya tidak semua rakyat Kelantan dibenarkan memasuki kompleks itu. Kompleks yang sepatutnya terbuka kepada sesiapa saja untuk datang dan berurusan, sebenarnya juga adalah kota larangan kepada beberapa orang.

Sultanik sendiri macam tidak percaya tetapi setelah ditunjukkan pekeliling berkenaan perkara itu yang dikeluarkan tidak lama dahulu dan ditandatangani oleh Mohamed Safaruddin bin Ismail, Setiausaha Sulit kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan, barulah Sultanik mempercayainya.

Mereka yang dikategoriikan sebagai individu yang dilarang masuk tanpa kebenaran itu ialah:-

1.   Yang Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Sultan Ismail Petra
2.   Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah
3.   Yang Berhormat Tuan Haji Ibrahim Ali
4.   Tuan Haji Ahmad Rusli Bin Haji Iberahim
5.   Tuan Haji Wan Hassan Bin Wan Zin
6.   Encik Mohd Raihan Bin Dato' Seri Dr Eusuff Teh
7.   Encik Tan Huat @ Tan Liang Chong
8.   Tuan Haji Shkori Bin Mohamed
9.   Tuan Haji Ismail bin Ghani
10. Tuan Haji Ibrahim Bin Haji Ab. Kadir
11. Tuan Haji Wan Hashim Bin Wan Daud
12. Dr. Haji Yaacob Bin Hussain Merican
13. Encik Yusri Bin Che Noh
14. Tengku Haji Ahmad Zahari Bin Tengku Abdul Kadir
15. Tengku Abu Bakar @ Tengku Azman Bin Tengku Ismail
16. Tengku Bakar Bin Tengku Mansor
17. Tengku Mohamed Shafiei Bin Tengku Ibrahim
18. Dato' Syed Mohamed Hanif Bin Syed Abdul Kudus
19. Dato' Albert Tan Tiong Who
20. Ainor Izmin Bin Mahmod
21. Tengku Baharuddin Bin Tengku Ma'amun
22. Tengku Azman Bin Tengku Mohd Ariffin
23. Tengku Alang Bin Tengku Sulong
24. Tengku Mohd Ariffin Bin Tengku Ibrahim
25. Tengku Anisah Bin Tengku Mohamad
26. Raja Faridah Binti Raja Zakaria
27. Tuan Anera Bin Tuan Mat (Ku Nera)
28. Tuan Haji Sabri Bin Shafie

Apabila Sultanik meneliti nama-nama yang dilarang memasuki Kota Darul Naim itu termasuk juga dua Ahli Parlimen iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah dan YB Ibrahim Ali, yang secara jelasnya adalah merupakan pemimpin yang dipilih oleh rakyat, Sultanik hanya mampu garu kepala memikirkannya.

Sepatutnya sebagai Ahli Parlimen dan wakil rakyat, mereka tidak dilarang memasuki kompleks yang menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan itu kerana sudah tentu kedua-dua mereka mempunyai pelbagai urusan yang melibatkan kepentingan rakyat yang mahu diuruskan di kompleks tersebut.

Dengan adanya larangan itu, sudah tentu banyak masalah rakyat menjadi tergantung dan tidak dapat diselesaikan oleh kedua-dua Ahli Parlimen tersebut. Wallahualam. (8.53 pagi 22/05/2012)

Thursday, 17 May 2012

7 Wasiat Raja Melayu dan Artikel 153 Pelindung Melayu

Apabila bercakap soal Melayu dan hak-hak mereka di bumi Malaysia ini, kita tidak seharusnya lupa kepada dua perkara yang selama ini melindungi kita iaitu 7 wasiat Raja Melayu yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 dan juga Artikel 153, Perlembagaan Malaysia.

Untuk renungan bersama, Sultanik turunkan kembali kedua-dua perkara itu.

7 wasiat Raja Melayu ialah:

1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutaun Tanah Melayu (sekarang dikenali Malaysia).

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Sementera Artikel 153 Perlembagaan Malaysia pula ialah memberikan tanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel ini mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kouta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu.

Tidak syak lagi bahawa kedua-duanya iaitu 7 wasiat Raja Melayu dan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia mempunyai kaitan yang rapat dalam menjaga dan melindungi kedudukan orang Melayu dan ianya menjanjikan kesejahteraan, kedamaian serta keamanan selagi  mereka bersatu dan berpegang teguh dengannya.

Sultanik berharap semua orang Melayu merenungi dengan mendalam perkara ini dan tidak sesekali menjadi bangsa yang mudah lupa. (9.51 pagi 17/05/2012)

Sunday, 13 May 2012

Apa Khabar Sultan Ismail Petra?




Ramai yang bertanya bagaimanakah keadaan kesihatan Sultan Ismal Petra ketika ini. Adakah baginda makin pulih atau kesihatan baginda masih macam dulu juga?

Oleh kerana tiada lagi berita mengenai baginda yang tersiar di dada-dada media, ramai sebenarnya yang bertanya dan ingin tahu kedudukan sebenar kesihatan baginda ketika ini.

Lama juga Sultanik memikir-mikir tentang hal itu. Baru-baru ini Sultanik berkesempatan bertemu dan berbual dengan orang yang bertanggungjawab menjaga kesihatan Sultan Ismail Petra.



Sambil ditunjukkan gambar-gambar terbaru mengenai aktiviti harian yang dijalani oleh baginda, Sultanik diberitahu bahawa kesihatan baginda kini berada dalam keadaan yang cukup memuaskan. Kesihatan baginda menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sekali.

Walaupun pergerakan baginda masih terhad dan memerlukan bantuan tetapi dari segi pemikiran, ingatan dan keupayaan berkomunikasi, jelas sudah pulih. Baginda bukan sahaja sentiasa menerima tetamu tetapi juga menjadikan kemestian mengikuti siaran berita Nightline TV3 jam 12.00 malam setiap hari sebelum masuk beradu.

Sultan Ismail Petra dilaporkan mempunyai semangat yang amat tinggi. Baginda biasanya bangun tidur sekitar jam 6.00 atau 6.15 pagi dan kemudian terus menunaikan solat Subuh, sebelum bersarapan pagi dan kemudian meluangkan masa mengambil angin pagi segar yang berhembus nyaman melalui tingkap yang sengaja dibuka.



Baginda kemudiannya beradu semula dan sebaik terjaga, baginda terus menjalani latihan fisioterapi yang sudah ditetapkan. Jadual fisioterapi baginda berjalan setiap hari tanpa rehat.

Baginda tidak pernah mengeluh atau mengadu penat menjalani latihan fisioterapi yang dilalui setiap hari. Baginda tidak saja menjalani latihan  fisioterapi untuk menguatkan anggota tubuh tetapi juga menjalani latihan pertuturan yang  sedikit terjejas akibat serangan angin ahmar tidak lama dahulu.

Selain menjalani latihan fisioterapi setiap hari, pagi dan petang, baginda juga akan diperiksa kesihatan secara menyeluruh oleh pasukan doktor pakar setiap seminggu sekali. Ini bagi memastikan kesihatan baginda sentiasa dalam keadaan yang terjaga dan dipantau sentiasa.

Di waktu petang pula, baginda biasanya akan dibawa berjalan-jalan mengelilingi persekitaran istana. Di waktu malam pula iaitu selepas maghrib, masa baginda dipenuhi dengan menghadiri kelas pengajian agama sehinggalah ke waktu isyak, sebelum menikmati jamuan makan malam dan berehat bersama keluarga selepas itu. Baginda hanya akan tidur selepas menonton siaran Nightline TV3 jam 12.00 malam.



Dalam masa yang sama, baginda juga mengikuti perkembangan semasa dalam negara dan dunia dengan turut membaca akhbar-akhbar dan majalah.

Dengan menjalani semua disiplin latihan ini dan juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui akhbar dan tv, bukan saja tahap kesihatan fizikal menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan tetapi juga  dapat memastikan tahap pemikiran baginda sentiasa baik dan terpelihara.

Dengan itu, baginda kini sering menerima tetamu dari dalam dan luar negara. Baginda kelihatannya amat gembira dapat berbual-bual sambil senyum dan ketawa dengan tetamu-tetamu yang begitu mengambil berat tentang kesihatan baginda itu

Selain menjalani latihan fisioterapi, baginda gemar menghabiskan masa mengayuh basikal untuk menguatkan otot-otot kaki. Berkat kegigihan menjalani latihan serta memiliki semangat yang tinggi untuk pulih seperti sediakala, baginda kini bukan saja kelihatan lebih ceria dan gembira tetapi juga sudah boleh berdiri tanpa bantuan selama hampir 10 minit pada satu-satu masa.

Sultanik sendiri amat gembira mendengar perkhabaran ini sambil menatap gambar-gambar baginda yang kelihatan semakin pulih dan ceria. Sama-samalah kita mendoakan baginda terus pulih dan sihat seperti sediakala. Amin.


Tuesday, 8 May 2012

Selamat Bertemu Kembali

Setelah agak lama menyepikan diri, Sultanik kini kembali semula untuk memeriahkan dunia penulisan maya yang kini nampaknya berkembang cukup pesat.

Sebagaimana dahulu, Sultanik akan menulis mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan Kesultanan Kelantan yang pernah bergolak suatu ketika dahulu. Sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara di mana kedudukan Raja-Raja mempunyai tempatnya yang khas dan tersendiri dalam masyarakat, Sultanik amat menjunjung tinggi kedudukan Sultan Kelantan dan kaum keluarganya dan sama-sekali tidak berniat mahu mengusik apa-apa daripadanya.

Cumanya, dalam mana-mana institusi pun, biasanya akan terdapat dalang-dalang yang suka mengambil kesempatan, menangguk di air keruh dan menghuru-harakan suasana demi mencapai matlamat peribadi masing-masing. Perbuatan dan tingkah laku dalang-dalang inilah yang cuba didedahkan oleh Sultanik. Sultanik hanya ingin mendedahkan kebenaran kepada masyarakat bahawa peranan yang dimainkan oleh dalang-dalang inilah yang menyebabkan Institusi Raja Kelantan pernah bergolak dan berlaku berbagai perkara yang tidak difikirkan oleh sesiapa terhadap Sultan Kelantan yang masih berdaulat.

 Bagi Sultanik, kebenaran tetap kebenaran walaupun mungkin ianya pahit untuk diterima oleh sesetengah pihak. Sultanik tetap berpegang bahawa kebenaranlah yang menjadi pedoman manusia di dunia yang sementara ini dan semua pihak pun memang mahukan kebenaran mengatur kehidupan mereka walau dalam apa keadaan sekali pun. Bagi peminat-peminat Sultanik, terutama rakyat Kelantan dan sesiapa sahaja tidak kira di mana juga berada, tunggulah berita-berita terbaru dan terkini dari Sultanik untuk pengetahuan kita bersama. Salam hormat dan terima kasih atas sokongan selama ini.


 SULTANIK