Minggu-minggu kebelakangan ini, isu hubungan Raja dengan rakyat kembali menjadi perbualan di mana-mana dan diperkatakan oleh ramai orang. Di laman sosial facebook, twitter serta blog pula bermacam-macam komen dan pandangan dapat dibaca mengenai perkara yang sama.
Isu ini bermula dengan komen bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang dilihat seolah-olah mempertikaikan kewajaran Sultan Johor membida nombor plat WWW 1 dengan harga RM520,000.
Kemudian dari itu, pelbagai komen pro dan kontra diluahkan oleh pelbagai pihak, termasuk kemurkaan Sultan Johor sendiri terhadap pihak yang mempertikaikan tindakan baginda itu sebagaimana yang dititahkan sempena perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Johor, baru-baru ini.
Meskipun pelbagai perkara dapat dibaca dan didedahkan mengenai isu Raja dan rakyat ini, hakikatnya rakyat dari semua kelompok, lapisan, latar belakang dan warna kulit tetap menerima kedudukan Raja-Raja sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Sultanik tidak bermaksud tidak baik tetapi sekadar mengingatkan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa agar menangani isu-isu yang berlaku antara Raja dan rakyat ini dengan cermat, adil dan tidak memilih bulu.
Tidak ada siapa mempertikaikan tindakan yang mahu diambil terhadap Datuk Seri Nizar atas keterlanjurannya itu tetapi harus juga diambil kira permohonan ampun yang telah dibuatnya selepas itu. Dalam hal ini, beliau seolah-olah mengakui keterlanjurannya, menyesal dan mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat ketika mahu membuat komen sebelum itu.
Begitu juga, tidak ada yang mempertikaikan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa keatas seorang jurutera yang didapati bersalah menghina Sultan Perak dan sudah pun dijatuhi hukuman.
Tetapi apa yang rakyat mahukan ialah agar pihak berkuasa terutamanya Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri haruslah benar-benar jujur dan adil dalam mengambil tindakan.
Ketika berlaku krisis dalam Istana Kelantan beberapa tahun lalu, pelbagai komen dan perbuatan yang boleh dianggap menderhaka kepada Tuanku Sultan Ismail Petra telah dapat dibaca dan dtonton oleh rakyat negara ini sama ada melalui akhbar,televisyen, blog dan sebagainya.
Malangnya, sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan diambil meskipun sesetengah komen oleh pihak tertentu terhadap Tuanku Sultan Ismail Petra didapati amat tidak wajar dan jauh lebih teruk daripada komen yang dilakukan oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Dalam tindakan pihak polis UTK mengepung kenderaan Tuanku Sultan Ismail Petra misalnya, sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil meskipun pelbagai laporan telah dibuat mengenainya.
Sultanik tidak mahulah jika pihak berkuasa tidak tegas dan memilih bulu dalam bertindak, ia lama-kelamaan akan meletakkan hubungan Raja dengan rakyat akan terjejas dan akhirnya merugikan banyak pihak terutamanya kedudukan orang-orang Melayu sen.
Lebih malang lagi, kiranya pihak berkuasa turut dipersalahkan sama atas berlakunya perkara itu.
Dalam hal ini Perdana Menteri mestilah menunjukkan ketegasannya serta mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Peguam Negara agar bertindak dengan adil dalam semua kes yang melibatkan Raja dengan rakyat.
Sultanik percaya, jika tindakan yang tegas dan tidak berpilih-pilih dapat diambil terhadap sesiapa saja yang didapati menderhaka dan menghina Raja-Raja, tidak ada sesiapa yang mempertikaikannya dan tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hubungan Raja dengan rakyat meski apa badai dan gelora sekalipun yang melanda.
Ini sekaligus akan memantapkan lagi hakikat bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada. (9.57 pagi 22/06/2012)
Friday, 22 June 2012
Wednesday, 13 June 2012
Benarkah UMNO Pembela Raja-Raja?
Apabila timbul isu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang didakwa mempertikaikan Sultan Johor berhubung nombor plat kenderaan WWW 1, UMNO nampaknya begitu lantang bersuara mempertahankan kedudukan Raja-Raja dari sebarang unsur penghinaan dan penderhakaan sambil mengecam tindakan yang dilakukan oleh pemimpin Pas itu.
Pemuda UMNO Johor yang bernaung dibawah NGO Majlis Penyelaras Gabungan Bukan Kerajaan Negeri Johor (Gabung) kemudiannya telah menganjurkan perhimpunan di Istana Pasir Pelangi, kediaman rasmi Sultan Johor bagi menyatakan sokongan terhadap baginda.
Perhimpunan itu didakwa berjaya mengumpulkan seramai kira-kira 30 ribu rakyat Johor daripada pelbagai kaum dan lapisan.
Dalam masa yang sama, suara-suara sokongan dan pembelaan pemimpin UMNO terhadap kedudukan dan sebarang unsur penghinaan terhadap institusi Raja terus lantang kedengaran dan bergema di sana-sini. Lantas UMNO dilihat sebagai pembela Raja-Raja paling berwibawa.
Soalnya, benarkah UMNO pembela Raja-Raja yang konsisten?
Sultanik tidaklah bermaksud prejudis terhdap UMNO dan para pemimpinnya tetapi sekadar ingin mengimbas beberapa peristiwa yang pernah berlaku beberapa tahun lalu terhadap Raja-Raja untuk renungan kita bersama.
Ketika UMNO mahu meminda pelembagaan yang bertujuan menghapuskan kekebalan Raja-Raja pada 1993, jika kita masih ingat, ketika itu serangan terhadap perkara-perkara peribadi berkaitan Raja-Raja dilakukan begitu hebat dan melampau sekali.
Pelbagai perkara telah didedahkan kepada umum termasuk pemilikan harta, kekayaan, perbelanjaan, dakwaan pembaziran, campurtangan dalam pentadbiran kerajaan dan lain-lain hal yang bersifat amat sulit untuk diketahui rakyat dengan tujuan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap Raja-Raja dan seterusnya menyokong pindaan perlembagaan itu.
Selain itu, UMNO juga mengadakan roadshow ke merata tempat untuk menyerang dan menghentam Raja-Raja dan kemudian disiarkan pula melalui akhbar serta televisyen sedangkan Raja-Raja langsung tidak berpeluang mempertahankan diri atau membalas serangan yang dilakukan itu.
Sebagai sebuah negara yang mengiktiraf kedudukan Raja-Raja, apakah tindakan UMNO ketika itu dianggap membela Raja-Raja?
Dan baru-baru ini didedahkan oleh seorang kerabat Diraja Negeri Sembilan, Tunku Harmy Tunku Hanan, bagaimana ketika proses mahu meminda perlembagaan itu, Tuanku Jaafar yang ketika itu menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Yang Dipertuan Agong, turut menerima ugutan daripada seorang menteri UMNO yang mahu mengheret Raja-Raja ke jalanraya dan mencampakkan ke dalam kawah jika tidak mahu menandatangai persetujuan pindaan tersebut.
Sekali lagi, soalan dari Sultanik, apakah tindakan yang tidak menghormati Raja-Raja dan biadap itu menandakan UMNO dan pemimpinnya sepanjang masa membela Raja-Raja?
Dan baru tidak sampai tiga tahun yang lalu, UMNO sekali lagi dianggap melakukan tindakan yang tidak menghormati institusi Diraja apabila tidak bertindak apa-apa terhadap perbuatan anggota UTK yang menyerbu kenderaan Tuanku Sultan Ismail Petra ketika baginda dalam perjalanan untuk keluar dari Istana Mahkota bagi mendapatkan rawatan perubatan di Singapura.
Memandangkan ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra masih merupakan Raja yang berdaulat, sudah tentu tindakan anggota UTK itu juga merupakan perbuatan yang menghina dan derhaka kepada Raja.
Tetapi apa tindakan UMNO ketika itu?
Sultanik juga ingin bertanya lagi, apakah tindakan itu membuktikan UMNO benar-benar pembela kepada institusi Raja di negara ini?
Bagi Sultanik, memanglah perbuatan Datuk Seri Nizar mempertikaikan pembelian plat kenderaan oleh Sultan Johor itu sesuatu yang tidak wajar tetapi ini tidaklah bermakna apa yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Perak itu lebih besar kesalahannya daripada apa yang dilakukan oleh UMNO kepada Raja-Raja pada tahun 1993 atau ketika UTK mengepung Tuanku Sultan Ismail Petra itu.
Jika diimbas apa yang telah dilakukan oleh UMNO dan dapat dibaca kembali keratan-keratan akhbar atau video ucapan bagaimana cabulnya mulut pemimpin UMNO menghentam Raja-Raja pada 1993 itu, sebenarnya dengan sendirinya kedudukan UMNO sebagai pembela Raja-Raja sudah lama terbatal. Sejarah telah membuktikan hakikat ini. (9.07am 12/06/2012)
Thursday, 7 June 2012
Jangan Lupa Penderhakaan Kepada Sultan Ismail Petra
Sejak kebelakangan ini beberapa isu berkaitan penderhakaan kepada institusi Diraja timbul kembali. Seorang jurutera, Chan Hon Keong dijatuhi hukuman setahun penjara dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth setelah didapati bersalah menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Beliau didapati melakukan kesalahan itu dengan membuat komen yang berunsur lucah dan menghina institusi Diraja Perak melalui ruang siber.
Dalam masa yang sama, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga khabarnya akan disoal siasat oleh polis Rabu ini berhubung komennya dalam Twitter yang mempertikaikan kejayaan Sultan Johor memenangi bidaan keatas nombor pendaftaran WWW 1 yang bernilai RM520,000.
Dengan tindakan pantas pihak polis mahu membuka kertas siasatan dan menyoal siasat Datuk Seri Nizar itu membayangkan bahawa sesuatu tindakan juga bakal diambil atas kesalahan menghina dan menderhaka kepada Sultan Johor.
Rakyat pelbagai peringkat juga nampaknya gembira dengan ketegasan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap perkara itu.
Sultanik memang mengalu-alukan kedua-dua keputusan itu kerana ia melambangkan ketegasan terhadap perbuatan yang boleh dianggap menghina dan menderhaka kepada institusi Diraja. Kita tidak mahu jika tindakan tidak segera diambil, dibimbangi akan berlaku penghinaan dan penderhakaan yang lebih besar lagi di masa-masa hadapan kepada institusi Diraja ini.
Sebelum berlaku sesuatu perkara yang lebih besar, maka ia haruslah dicegah di peringkat awal lagi.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Raja Berperlembagaan di tempatnya yang sendiri dan disanjung sebagai lambang keharmonian dan kedaulatan, tidak ada sesiapa pun yang bersetuju berlakunya penghinaan serta penderhakaan kepada Raja yang sedang bertakhta.
Tetapi sementara kita menyanjung keputusan mahkamah dan tindakan segera pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menghina institusi Diraja, Sultanik ingin mengimbas kepada beberapa peristiwa yang berlaku terhadap Tuanku Sultan IsmIl Petra, kira-kira dua tahun lau.
Ketika itu, Tuanku Sultan Ismail Petra bersama rombongan yang dalam perjalanan keluar dari istana menuju ke lapangan terbang bagi mendapatkan rawatan susulan di Singapura telah diserbu oleh sepasukan polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertopeng dan bersenjata bagi menghalang perjalanan tersebut.
Rombongan Diraja termasuk Tuanku Sultan Ismail Petra yang sedang uzur kemudiannya ditahan untuk beberapa jam dan akhirnya tidak dibenarkan meneruskan perjalanan bagi mendapatkan rawatan kesihatan di Singapura. Tuanku Sultan Ismail Petra hanya dibenarkan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kubang Kerian kemudiannya.
Bersama rombongan Diraja ketika itu termasuklah Raja Perempuan Kelantan dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Ketika itu Tuanku Sultan Ismail Petra masih merupakan Sultan Kelantan. Tidakkah tindakan polis itu boleh dianggap menghina dan menderhaka kepada institusi Diraja juga?
Sultanik tidaklah bermaksud untuk menimbulkan polemik baru dalam hal ini tetapi sekadar mengharapkan keadilan yang mahu ditegakkan oleh pihak berkuasa biarlah menyeluruh dan tidak berpilih-pilih.
Meskipun Sultanik difahamkan ada laporan polis dibuat terhadap kejadian yang menimpa Tuanku Sultan Ismail Perta itu tetapi sehingga ini tidak ada sebarang tindakan yang diambil.
Sultanik mungkin tidak pandai bab undang-undang tetapi pusing juga kepala memikirkan jika ada yang menganggap kesalahan membuat komen di ruang siber dan Twitter itu lebih berat kesalahannya berbanding menyerbu dan mengepung rombongan Tuanku Sultan Ismail Petra oleh polis yang lengkap bersenjata?
Sekali lagi, apa yang Sultanik harapkan ialah keadilan yang menyeluruh dan tidak berpilih-pilih. Sultanik percaya rakyat juga akan gembira jika keadilan dapat ditegakkan dalam hal ini, sebagaimana tindakan yang diambil terhadap kes-kes menghina serta menderhaka kepada institusi Diraja sebelum ini.
Saturday, 2 June 2012
Polis Oh Polis
Sejak perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 diadakan yang asasnya adalah untuk menuntut perjalanan pilihanraya yang adil dan bersih, turut menjadi perbualan rakyat ialah beberapa tindakan pihak polis yang dianggap keterlaluan serta tidak berperikemanusiaan dalam menangani sesuatu kejadian itu.
Ia bukan saja memperlihatkan bagaimana polis menembak gas pemedih mata dan menyembur air bagi menghalang kemaraan rakyat, bahkan terdapat juga insiden bagaimana pihak polis memukul, menendang serta mencederakan mereka yang dapat ditangkap secara yang tidak wajar.
Dalam beberapa video yang mudah dapat ditonton melalui Youtube, jelas dapat dilihat bagaimana polis yang seramai lebih lima orang telah memukul dan membelasah beberapa peserta perhimpunan dengan mengggunakan tangan, cota dan seolah-olah tanpa pertimbangan.
Termasuk menjadi sasaran pihak polis juga ialah wartawan yang turut mengadu dipukul oleh polis dan kemudiannya terlantar beberapa hari di hospital.
Sementara kejadian itu berleluasa dapat disaksikan oleh sebahagian besar rakyat yang mempunyai akses internet, pihak polis tidak pula tampil memohon maaf atau berjanji tidak mengulangi kejadian yang sama, sebaliknya hanya berdiam diri atau beberapa pihak tertinggi polis kemudiannya memberikan hujah-hujah pembelaan bagi mewajarkan semua tindakan itu.
Tetapi hakikatnya, dalam semua kejadian itu persepsi rakyat terhadap polis menjadi amat buruk sekali. Sementara diakui terdapat ramai anggota polis yang berhemah tinggi, mematuhi undang-undang dan menjalankan tugas pengorbanan yang sentiasa dikenang oleh rakyat seperti menjaga keselamatan awam dan keselesaan lalu lintas, tetapi perbuatan segelintir anggota dalam polis yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang itu ibarat "nila setitik, rosak susu sebelanga" jadinya.
Jika diimbas beberapa kejadian sebelum itu, sebenarnya terdapat juga beberapa insiden yang turut memberi kesan terhadap imej polis di mata rakyat tetapi yang paling ketara ialah dalam beberapa insiden ketika pergolakan dalam Istana Kelantan, lebih dua tahun lalu.
Sultanik tidaklah bertujuan apa-apa bila membangkitkan atau membandingkan perkara ini tetapi sekadar untuk renungan bersama bahawa bukan saja rakyat yang mengalami ketidakselesaan dan kekerasan daripada pihak polis, malahan ia juga turut berlaku kepada golongan Diraja yang pada hakikatnya merupakan payung kepada sebuah kerajaan dan rakyat di negara ini.
Pernah berlaku kejadian bagaimana kenderaan yang membawa Tuanku Sultan Ismail Petra untuk keluar dari istana telah dihalang dan dikepung oleh pasukan polis dan UTK yang lengkap bersenjata seolah-olah menyerbu sebuah kumpulan orang jahat yang juga bersenjata. Ketika itu rombongan Diraja itu dalam perjalanan untuk membawa Tuanku Sultan Ismail Petra menerima rawatan kesihatan di Singapura.
Beberapa anggota rombongan Diraja termasuk Raja Perempuan Kelantan juga ditahan dan dikawal oleh polis seolah-olah mereka bukan keluarga diraja yang sedang bertakhta dan hanya dilepaskan beberapa jam kemudian. Tuanku Sultan Ismail Petra kemudiannya hanya dibenarkan menerima rawatan di Hospital Kubang Kerian sahaja.
Oleh kerana merasakan penahanannya itu dilakukan secara tidak sah, tanpa sebarang alasan dan berniat jahat termasuk menggunakan senjata untuk menakut-nakutkannya, Tengku Fakhry telah mengemukakan saman terhadap PDRM sebanyak RM150 juta bagi menuntut keadilan, menyekat hak asasinya, memberikan tekanan mental serta memalukannya.
Saman ini masih dalam pengurusan kes sebelum ditentukan tarikh perbicaraannya. Pihak yang disaman oleh Tengku Fakhry ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan, Asisten Supritendan Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan ketika itu, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan PDRM.
Beberapa kejadian ini, sama ada yang berlaku kepada rakyat biasa sehinggalah kepada keluarga Diraja, pada Sultanik amatlah memalukan dan tidak wajar bagi sebuah negara membangun dan beretika seperti Malaysia ini.
Setidak-tidaknya penambahbaikan dan profesionalisme pihak polis haruslah diangkat ke tahap yang lebih tinggi supaya imej polis sentiasa cantik dan dipandang baik oleh semua kelompok masyarakat. (12.12 pm 02/06/2012).
Subscribe to:
Posts (Atom)